MALAYSIA dikejutkan dengan berita seorang anak di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak yang sanggup membunuh dan memotong badan ibunya kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.
Pihak polis berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan rumah berkenaan kira-kira 3.30 petang pada Sabtu.
Jenayah yang dilakukan lelaki berkenaan adalah terlalu besar dalam Islam kerana suspek sanggup melakukan perkara zalim terhadap orang ibu bapanya, sedangkan dalam Islam melarang sekeras-kerasnya untuk berbuat jahat kepada kedua orang tua.
ALLAH berfirman dalam surah al-Isyra’ 23: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Mengulas tentang kes itu, pendakwah, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, adalah sangat mendukakan apabila seorang anak sanggup membunuh ibunya disebabkan harta.
Katanya bukan sekadar kes bunuh, malah ada dalam kalangan umat Islam yang sanggup membuang orang tuan mereka selepas mengambil harta insan yang berpayah jerih membesarkan mereka.
Tambah Zaharuddin, menyamakan kegilaan seseorang itu terhadap harta adalah setaraf dengan ketagihan dadah dan arah yang mana pelakunya seolah-olah hilang akal dalam melakukan sesuatu.
"Kerana itu, saya sangat kerap mengingatkan kita agar batasi kecintaan kita kepada harta dengan kerap mempelajari halal haram, mengetahui batasnya.
"Jika tidak, seseorang akan mabuk dalamnya hingga hilang pertimbangan dengan melakukan pelbagai jenayah dan maksiat hanya untuk harta dan wang. Juga pastinya akan buta dan tuli dari segala nasihat dan teguran membina," tulisnya di Facebook.
Keadaan itu sama seperti digambarkan dalam satu hadis yabng menyatakan mengenai individu yang taksub dengan sesuatu benda akan menjadikannya seseorang tidak cakna dengan segala nasihat dan teguran dari orang sekeliling.
"Cintamu akan sesuatu, akan membutakan dan memekakkan," ([Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir)
Dalam pada itu, pihak polis memberitahu suspek yang bertindak membunuh dan mengerat ibu kandungnya kepada 15 bahagian berkenaan dipercayai mempunyai masalah mental. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram