Sampai patah hidung, pemandu BMW diserang sawan rempuh 9 kenderaan di lampu isyarat Ayer Keroh


  • 112
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Keadaan sebuah BMW dipandu lelaki dipercayai diserang sawan sebelum merempuh sembilan kenderaan lain yang sedang menunggu lampu isyarat di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh pada Jumaat. — Facebook

SEORANG wanita yang patah hidungnya merupakan antara enam yang cedera dalam nahas melibatkan 10 kenderaan apabila dirempuh pemandu yang diserang sawan, ketika menunggu lampu isyarat di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, insiden pada pukul 9.14 malam itu berlaku ketika semua mangsa sedang menunggu di simpang empat lampu isyarat Taman Chiptaco berhadapan sebuah pasar raya.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau, sebuah BMW dipandu lelaki berusia 38 tahun yang turut berhenti, tiba-tiba diserang sawan menyebabkan dia tertekan pedal minyak.

"Keadaan itu menyebabkan kenderaannya meluncur laju sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di hadapannya.

"Pemandu berkenaan kemudian sekali lagi diserang penyakit itu, menyebabkan berlaku rempuhan kedua,” katanya.

Akibat insiden tersebut sembilan kenderaan lain dirempuh serta menyebabkan enam mangsa, iaitu pemandu dan penumpang berusia antara 20 hingga 73 tahun cedera ringan, termasuk pemandu Perodua Kenari wanita berusia 20 tahun mengalami patah hidung.

"Kesemua mangsa menerima rawatan di Zon Hijau dan Zon Kuning Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram