OKU maut rempuh MPV di lorong kecemasan


  • 112
  • Ahad, 05 Jun 2022

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave, dalam perjalanan dari arah sama tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang MPV tersebut. — Sinar Harian

SEORANG lelaki kurang upaya maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di lorong kecemasan, di Kilometer 85.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Sungai Petani pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, dalam nahas pukul 11 pagi Ahad mangsa Muhammad Faizol Azahar, 23, merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan penglihatan iaitu hanya dapat melihat menggunakan mata sebelah kiri itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati MPV jenis Honda Stream yang dinaiki tiga lelaki itu, berhenti di lorong kecemasan kerana kerosakan pada radiator.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave, dalam perjalanan dari arah sama tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang MPV tersebut dan mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaidy berkata pemandu MPV itu dan dua lagi penumpang yang berada di dalam kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan.

"Mayat OKU terbabit telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan ujian Covid-19 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram