Warden dikhuatiri lemas, cuba seberang Sungai Perak


  • 112
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Operasi mencari mangsa sedang giat dilaksanakan. — Sinar Harian

SEORANG warden dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika berenang menyeberangi Sungai Perak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil, Sayong Lembah di Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar pukul 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Nor Amirulhamzah Jaafar, 26, bersama seorang pengurus dan tiga penghuni Pusat Rawatan dan Pemulihan Darul Islah, Padang Rengas dikatakan menjala di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa bersama seorang penghuni mengambil keputusan untuk berenang ke seberang sungai selepas gagal memperoleh ikan.

Omar Bakhtiar mendengar penerangan daripada pihak bomba berhubung perjalanan SAR yang bermula jam 8.30 pagi pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terus dihanyutkan arus deras manakala seorang penghuni sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan selepas menerima laporan kejadian itu. Gerakan awal dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian permukaan.

"Khidmat Unit Anjing Pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil bagi membantu mengesan mangsa dalam operasi yang bermula pada pukul 8.30 pagi," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Omar Bakhtiar berkata, pencarian dilakukan sejauh tiga kilometer dari Jeti Penambang Sayong.

"Seramai 35 pegawai dan anggota daripada polis, bomba, Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan dalam operasi itu.

"Operasi menggunakan sembilan bot termasuk bantuan penduduk kampung dan peserta bot naga berhampiran," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram