SEORANG lelaki berusia 43 tahun dikhuatiri lemas, selepas kereta yang dipandunya merempuh penghadang jalan dan terjunam ke dalam sungai di hadapan sebuah hotel di Sibu, Sarawak pada pagi Jumaat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menerusi hantaran di laman Facebook berkata, seorang tetamu hotel yang mahu mendaftar masuk memaklumkan ke kaunter pendaftaran bahawa, dia melihat sebuah kereta dipandu laju merempuh penghadang jalan.
Kereta itu seterusnya terjunam ke dalam sungai.
Balai Polis dan Penyelamat Sibu Sentral menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.40 pagi Jumaat dan mengerahkan enam anggota ke tempat kejadian.
"Pihak bomba bersama pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) mendapati, besi penghadang jalan telah terjatuh ke dalam sungai manakala pasukan bomba melakukan pencarian awal lokasi kenderaan tersebut.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan tetapi ia dibatalkan kerana keadaan gelap gelita," katanya.
Namun, SAR diteruskan pada pagi Jumaat oleh Pasukan Penyelamat di Air (Scuba) Bomba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram