Identiti 2 remaja maut terbongkar, polis dedah siasatan awal kenapa Alphard parkir di kondo Sri Permaisuri


  • 112
  • Jumaat, 03 Jun 2022

Kedua-dua mangsa yang ditemui di dalam Toyota Alphard berusia 19 tahun. — PDRM

POLIS mengenal pasti identiti dua mayat yang ditemukan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul masing-masing berusia 19 tahun.

"Saya sahkan identiti mereka telah dikenal pasti dan polis masih menyiasat kes berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, mengulas mengenai bagaimana kenderaan itu boleh berada di kawasan parkir berkenaan walaupun kedua-dua mereka bukan penghuni kondominium terbabit, Muhammad Idzam berkata, kawasan parkir itu terbuka kepada awam.

"Mana-mana individu yang datang ke residensi (kondominium) berkenaan boleh meletakkan kenderaan di parkir tersebut, tetapi ia lengang dan jarang digunakan walaupun sudah siap dua tahun lepas. Hanya kereta mangsa yang berada di lokasi berkenaan, di sudut hujung berdekatan dinding ketika ia ditemukan.

"Kereta itu dipercayai dipandu oleh seorang daripada remaja itu. Ia berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan parkir terbabit yang merakamkan MPV itu masuk ke lokasi, namun tiada pergerakan keluar masuk melibatkan kedua-dua si mati," katanya.

Dua remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Ahad lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram