Bukit Aman nafi 2 mangsa dera, ugut ‘stun gun’ rakyat tempatan


  • 112
  • Jumaat, 03 Jun 2022

Tangkap layar video tular memaparkan dua mangsa yang diugut dan didera dengan 'stun gun'.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua video melibatkan dua mangsa yang diugut dan didera dengan alat renjatan elektrik (stun gun), yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku di luar negara dan bukan di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan turut mengesahkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita bukan warga Malaysia.

Beliau berkata, PDRM mengambil maklum mengenai penularan dua video terbabit.

"Video pertama berdurasi 54 saat melibatkan mangsa wanita dipercayai warga Vietnam manakala mangsa dalam video kedua yang berdurasi seminit dan 47 saat pula adalah lelaki.

"Kedua-dua mereka digari di atas katil dan diugut dengan stun gun," katanya dalam satu kenyataan.

Abd Jalil menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan video-video yang tidak diketahui kesahihannya itu kerana dikhuatiri akan mencetuskan kegusaran awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung video berkenaan diminta tampil menyalurkannya di mana-mana balai polis berdekatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, video, tular, ugut, dera