Tiada warga Singapura jadi mangsa jenayah sejak sempadan dibuka


  • 112
  • Khamis, 02 Jun 2022

Satu-satunya jenayah melibatkan warga Singapura setakat ini adalah kes pergaduhan pasangan di Taman Mount Austin.

SEBUAH portal Singapura melaporkan dakwaan ramai rakyat Singapura menjadi mangsa pelbagai jenayah di Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Johor, Komisioner Kamarul Zaman Mamat, tiada warga Singapura yang menjadi mangsa jenayah di Johor sejak pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.

Malahan Kamarul menafikan laporan yang menyenaraikan tujuh kawasan di Johor Bahru sebagai tidak selamat dan patut dielakkan.

"Apabila sempadan negara dibuka, lebih 1,600 pegawai dan anggota polis ditempatkan di 41 kawasan tumpuan pelancong dan orang ramai sekitar Johor.

"Setakat ini, polis Johor tidak menerima sebarang aduan kes jenayah membabitkan warga republik tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru.

Ketua polis itu menambah bahawa satu-satunya jenayah melibatkan warga Singapura setakat ini adalah kes pergaduhan pasangan di Taman Mount Austin.

Pada Selasa, seorang wanita Singapura berusia 29 tahun ditikam di punggung oleh teman lelakinya berusia 34 tahun yang mana turut berasal dari republik itu.

"Pasangan itu menyewa satu unit di apartmen itu selama beberapa hari.

"Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek lelaki mengambil pisau dan menikam punggung teman wanitanya.

"Siasatan mendapati kedua-dua mereka positif dadah dan pasangan itu telah didakwa di mahkamah," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram