Kerajaan setuju laksana MRT3, tambah baik LPB Sabah Sarawak, projek tebatan banjir — Ismail Sabri


  • Primer
  • Jumaat, 04 Mac 2022

ISMAIL Sabri memaklumkan keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan bagi menjana peluang perniagaan dan pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. — Bernama

KABINET bersetuju melaksanakan projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3) serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Sarawak dan projek tebatan banjir.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan terutama Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan dan pekerjaan untuk Keluarga Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

"Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.

"Keputusan melaksanakan projek-projek itu mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang untuk Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Ismail Sabri, keputusan meluluskan pelaksanaan projek MRT3 dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bertujuan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

Projek MRT3 sebelum ini ditangguhkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum Kabinet di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk meneruskan projek itu tahun lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan LPB Sabah melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

Jelasnya, fasa pertama LPB Sabah merangkumi 15 pakej, dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024 dan kini mencapai 52 peratus kemajuan manakala fasa pertama LPB Sarawak melibatkan jajaran 786 km pula telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini

"Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).

"Jemaah Menteri juga bersetuju meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan RM15 bilion untuk tempoh dari 2023 hingga 2030, mengambil kira fenomena banjir monsun timur laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda," menurutnya.

Kerajaan pada masa ini menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram