Lelaki terima 10 jahitan akibat diserang ular sawa 7 meter


  • Benua
  • Isnin, 16 Mei 2022

Gambar ular sawa yang ditetak rakan mangsa dalam kejadian pada Sabtu. — Agensi

SEORANG lelaki diserang seekor ular sawa sepanjang tujuh meter di Kabupaten Gowa, dekat Sulawesi Selatan, Indonesia.

Mangsa dikenali sebagai Bakri Daeng Massa, 50, mengalami luka gigitan dan dikejarkan ke hospital.

"Ular itu dianggarkan sepanjang tujuh meter. Mangsa mengalami enam luka gigitan pada punggung dan lengan sebelah tangan," kata seorang pegawai polis di Parangloe, Iptu Mudatsir pada Ahad.

Kejadian tersebut berlaku di kawasan hutan di Tanah Kulang, Dusun Pakkolompo, dekat Desa Kecamatan Parangloe, Kabupaten Gowa pada Sabtu pagi.

Dalam kejadian, Bakri ditugaskan bersama tiga rakannya membersihkan kawasan penanaman pokok yang dikenali PT. Inhutani.

"Mangsa tidak perasan kehadiran ular sawa yang berada di kawasan berkenaan yang bertindak menyerangnya dari arah belakang. Ular tersebut menggigit mangsa pada bahagian punggung dan lengan kanan," kata Mudatsir.

peristiwa-di-gowa-diserang-ular-piton-7-meter-hingga-nyaris-tewas-dok-istimewa_169

Mangsa menerima rawatan di hospital selepas diserang ular sawa. — Agensi

Mangsa menjerit kesakitan dan meminta tolong, manakala rakannya cuba menolong dengan cara memukul ular tersebut dengan ranting kayu, sebelum menetak haiwan itu dengan senjata tajam sehingga mati.

Selepas itu, Bakri dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa mendapat 10 jahitan dan telah dibenarkan pulang ke rumahnya," tambah Mudatsir.

Pada masa sama, Mudatsir memberi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada agar kejadian sama tidak berulang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram