Polis tahan lelaki tayang 'pistol' RM2.40 sambil memandu di PJ


  • 112
  • Isnin, 30 Mei 2022

Gelagat suspek menunjukkan pistol mainan dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang lain pada Ahad.

TINDAKAN seorang lelaki menayang pistol mainan melalui tingkap kereta semasa sedang memandu berhampiran pusat beli-belah One Utama menghala ke Tol Lebuh Raya Damansara-Puchong di Petaling Jaya, Selangor membawa padah apabila ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, gelagat suspek berusia 28 tahun itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya dalam kejadian sekitar pukul 6.15 petang berhampiran kompleks beli-belah berkenaan.

"Pada pukul 7.03 malam 29 Mei lalu, polis menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang sedang memandu kereta jenis Proton Wira berwarna merah mengeluarkan pistol dari tingkap dan menghalakan ke atas.

"Bertindak atas maklumat, pada kira-kira pukul 10 malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fakhrudin berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan mendakwa pistol berkenaan merupakan pistol mainan.

"Suspek mendakwa bahawa, pistol mainan berharga RM2.40 itu adalah milik anak buahnya yang berumur empat tahun dan mendakwa sedang bermain dengan anak buahnya itu ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan pistol mainan berwarna hitam-coklat untuk membantu siasatan.

Katanya, suspek yang mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah itu direman dua hari bermula Isnin untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram