KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, risiko cacar monyet merebak ke Malaysia adalah rendah melainkan terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit wabak itu.
Beliau dalam kenyataan pada Sabtu berkata, kemungkinan penularan jangkitan itu dari manusia ke manusia adalah terhad.
Beliau bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) akan memantau perkembangan situasi virus itu melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki cacar monyet di semua pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.
"Pengembara ke negara yang terdapat wabak cacar monyet seperti Afrika Tengah dan Afrika Barat perlu mengambil langkah berwaspada.
“Adalah penting untuk menjaga kebersihan diri, termasuk kerap mencuci tangan selepas ke tandas atau apabila tangan kotor.
“Elakkan sentuhan langsung dengan luka pada orang dan haiwan yang dijangkiti, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair badan seperti pakaian kotor orang dijangkiti.
“Elakkan juga bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya,” katanya.
Pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan yang dilanda wabak cacar monyet dan menunjukkan simptom dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
"Pengembara yang mengalami simptom perlu memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan mereka.
"Mereka juga perlu mengelakkan diri daripada menyentuh individu lain dan melakukan pengasingan diri sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram