Remaja tembak nenek sebelum bunuh 18 murid, seorang guru


  • Benua
  • Rabu, 25 Mei 2022

Seorang remaja menembak mati 18 orang kanak-kanak dan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas pada Selasa. — Agensi

SEORANG lelaki bersenjata berusia 18 tahun membunuh sekurang-kurangnya 18 pelajar dan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Ia merupakan kejadian tembakan yang paling buruk dan melibatkan kematian paling ramai pernah berlaku di sekolah negara itu sejak beberapa tahun lalu, menurut laporan BBC.

Serangan itu berlaku di Uvalde, Texas dalam sebuah komuniti kecil. Tempat kejadian itu terletak kira-kira sejam dari sempadan Mexico.

Gabenor Greg Abbott ketika berucap pada sidang akhbar berkata, lelaki bersenjata itu dipercayai menembak neneknya sebelum menuju ke Sekolah Rendah Robb sekitar tengah hari.

Kata Abbott, suspek kemudian meninggalkan kenderaannya dan memasuki sekolah berkenaan dengan membawa sepucuk pistol, senapang separa automatik AR-15 dan peluru, lapor CBS.

Abott berkata, remaja tersebut kemudian melepaskan tembakan dan membunuh seramai 18 pelajar dan seorang guru.

Gabenor tersebut berkata, suspek yang disifatkan sebagai remaja tempatan dan warga AS juga maut dalam kejadian tersebut.

Remaja itu dipercayai bertindak bersendirian dalam kejadian tersebut.

Tembakan tersebut merupakan kejadian yang paling buruk pernah berlaku selepas seramai 18 pelajar sekolah menengah dan tiga kakitangan dewasa terbunuh di Parkland, Florida pada tahun 2018.

Ia juga merupakan kejadian tembakan paling buruk pernah berlaku di sebuah sekolah rendah.

Sebelum ini, satu kejadian tembakan di sebuah sekolah di kampung Sandy Hook, Connecticut pada tahun 2012 menyebabkan seramai 20 kanak-kanak dan enam kakitangan terbunuh.

Rumah Putih mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung untuk mangsa-mangsa berkenaan yang menyebabkan gelombang kejutan selepas AS masih terkesan dengan kejadian tembakan di Sandy Hook.

Presiden AS, Joe Biden telah diberi taklimat mengenai kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram