Terlibat kes 'ulat jenazah', 2 pembantu kesihatan direman di Shah Alam


Kedua-dua suspek ditahan pada petang Khamis, selepas hadir di pejabat SPRM Selangor untuk memberi keterangan. — Sinar Harian

DUA pembantu kesihatan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor pada Jumaat berhubung kes 'ulat jenazah' dan meminta rasuah bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Majistret, Nur Faizah Abdul Sani mengeluarkan perintah itu, selepas membenarkan permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan kedua-dua suspek, bermula Jumaat sehingga Selasa depan.

Mereka yang berusia 40 hingga 42 tahun, direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pada Khamis, media tempatan melaporkan, dua pembantu kesihatan menjadi 'ulat jenazah' dan meminta suapan kira-kira RM15,000 untuk kerja-kerja pengurusan mayat memakan diri selepas mereka ditahan oleh SPRM.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan pada pukul 4.45 petang selepas hadir di pejabat SPRM Selangor untuk memberi keterangan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram