SPRM siasat rasuah perolehan berkaitan Covid-19


  • Primer
  • Rabu, 25 Mei 2022

Azam (tengah) sewaktu menghadiri Forum Anti Rasuah Malaysia di Putrajaya, pada Selasa. — Bernama

RASUAH membabitkan perolehan peralatan perubatan dan ubat terbongkar semasa pandemik Covid-19, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, antara siasatan yang dijalankan terhadap perolehan berkaitan Covid-19 ialah penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan dan pakej ransangan, penipuan berkaitan peralatan perubatan palsu dan rasuah dalam kalangan penguat kuasa ketika menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan.

“Semasa pandemik, banyak negara menghulurkan bantuan ekonomi dan membuat pembelian peralatan perubatan dan ubat melalui dana kecemasan.

“Tetapi amat menyedihkan walaupun dalam keadaan wabak dan darurat (sebelum ini), beberapa perolehan terpalit rasuah.

“Ini menunjukkan terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab masih mengambil peluang untuk mengaut wang haram daripada kesusahan rakyat,” kata Azam dalam ucaptama Forum Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada Selasa.

Azam berkata, SPRM bekerja sepanjang masa untuk memastikan rasuah dikawal rapi di negara ini.

Tambahnya, pihak SPRM membuka 829 kertas siasatan dengan 851 tangkapan pada tahun 2021.

“Sehingga April tahun ini, kami telah membuka 379 kertas siasatan dan menahan 425 individu,” katanya.

Mengenai siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azam berkata badan anti rasuah itu telah menemui semula aset bernilai kira-kira RM20 bilion melalui kompaun dan penyelesaian.

“Kerja belum selesai dan kami akan terus menghantar pulang aset yang dicuri itu," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram