LELAKI Rohingya yang dikenali sebagai "Long Tiger" masih menjalani hukuman penjara, berikutan melarikan diri dari lokap mahkamah pada Disember tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Mohd Fadhil Minhat berkata, lelaki berusia 33 tahun itu atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid dijatuhi hukuman penjara selama setahun bermula Januari tahun ini.
"Meskipun dia dilepaskan namun tidak dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Tangkak atas kes peras ugut, ia tidak bermakna dia seorang yang bebas sekarang.
"Dia masih menjalani hukuman penjara di penjara Kluang dan dibicarakan untuk kes lain yang membabitkan dirinya," katanya.
Pada Selasa, Mahkamah Majistret Tangkak melepaskan tanpa membebaskan Abdul Hamim atas kes peras ugut mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Peguamnya, Datuk Shaharudin Ali berkata, majistret membuat perintah itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan mereka mengenai kesan kematian mendadak saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman, di tengah perbicaraan.
Abdul Hamim menjadi isu utama apabila dia melarikan diri daripada tahanan polis selepas ditahan, atas kesalahan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut tahun lalu.
Dia melarikan diri melalui pintu pagar utama mahkamah pada 11.55 pagi pada 15 Disember, sementara menunggu kesnya dimulakan dan ditahan semula di Sungai Petani, Kedah, pada 28 Disember.
Dia telah dibawa dari Penjara Sungai Udang di Melaka sehari sebelum kejadian dan dibawa ke mahkamah.
Polis hanya menyedari dia melarikan diri apabila melihat dia berlari ke arah pintu pagar.
Abdul Hamim melarikan diri ke dalam hutan.
Pada 20 Januari lepas, dia dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak selepas mengaku bersalah melarikan diri.
Pada 2012, Abdul Hamim didakwa atas tuduhan menculik dan merogol. Pada tahun 2009, dia disabitkan dengan ugutan jenayah.
Suspek mempunyai status pemastautin sementara dan kad pelarian yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram