SEORANG wanita berasa tertipu selepas motosikal yang dihantar kepada seorang mekanik untuk dibaiki masih tidak siap setelah lima tahun.
Menurut hantaran Facebook Aerin Mas Nan pada Jumaat, motosikal yang dihantar sejak 2018 itu bukan sahaja tidak siap malah keadaannya sudah tidak sama seperti ketika ia diserahkan.
Katanya, dia cuma meminta lelaki itu untuk menukar lampu bahagian belakang sahaja dan bayaran RM200 sudahpun dilakukan.
"2018 suami bagi RM200 suruh tukar lampu motosikal belakang saja, tapi dibarainya semua sampai sekarang tahun 2022 tak siap-siap. Bila tanya katanya dalam proses. Alasan tu dah lima tahun. Nampak gayanya sampai kiamat tak akan siap la.
"Kalau tak nak motosikal atau kereta kena barai, hati-hati pilih pomen... kita fikir nak support kawan, support bangsa sendiri tapi akhirnya makan diri. Dia buat kita macam pengemis pula siap maki hamun bila kita tuntut hak kita," katanya.
Menurutnya, dia sudah berkali-kali meminta lelaki itu menyiapkan motosikalnya atau memulangkan kembali dalam keadaan asal, namun permintaannya itu tidak dipedulikan.
Tambahnya, lelaki itu juga pernah mengamuk dan memarahinya dan suami apabila mereka pergi ke bengkelnya untuk berbincang mengenai perkara itu.
Aerin juga mendakwa, bukan dirinya sahaja yang mengalami nasib sedemikian malah ramai lagi yang menjadi mangsa lelaki itu.
Hantaran yang dimuatnaik Aerin pada Jumaat.
"Bila pergi rumah, bini dia cakap dia baru tidur. Petangnya terserempak di jalan, dia acah-acah gangster tahan kereta kami tengah jalan. Bila pegi bengkel, dia mengamuk acah-acah Long Tiger pegang sepana hempas habis barang.
"Paling best, part hina maki aku... siap warning suami jangan ikut cakap aku. Dengar-dengar bukan kami saja terkena, dah ramai juga senasib macam kami.
"Hati-hatilah ya. Aku ingatkan supaya orang lain tak terkena dengan pomen tak jujur macam ni," katanya.
Menurut wanita itu, dia kini dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan.
Majoriti sedang menunggu maklumat lanjut dari mangsa dan pemilik bengkel terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram