SWEDEN dan Finland akan bersama-sama mengemukakan permohonan menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Rabu, kata Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson pada Selasa.
Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson mengambil tanggungjawab bagi merealisasikan hasrat kedua-dua negara — Bernama
Keanggotaan NATO itu akan mengukuhkan keselamatan di Sweden dan di rantau Laut Baltik, lapor Xinhua.
Mengemukakan permohonan bersama Finland bermakna kedua-dua pihak dapat menyumbang kepada keselamatan di utara Eropah, sekali gus mengeratkan hubungan kerjasama.
"Permohonan ini juga memberi isyarat bahawa kami bersatu demi masa depan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden Finland Sauli Niinisto.
Menteri Luar Sweden Ann Linde menandatangani permohonan keahlian NATO negara itu pada pagi Selasa.
Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin berkata, Moscow akan bertindak balas jika NATO menggunakan infrastruktur ketenteraan di wilayah Finland atau Sweden.
Niinisto mengadakan lawatan ke Sweden pada Selasa hingga Rabu.
Andersson dan Niinisto kemudiannya dijadual bertemu Presiden AS Joe Biden di Washington pada Khamis, menurut kerajaan Sweden. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram