TARIKH 7 Mei adalah hari yang sangat bermakna bagi kembar tiga yang meraikan ulang tahun kelahiran mereka yang ke-70.
Kembar tiga yang dikenali sebagai Betty, Steven dan Philip Teh dilahirkan dengan berbeza jarak sejam pada malam 6 Mei 1952.
"Tetapi Philip dilahirkan selepas pukul 12 malam menjadikan tarikh kelahirannya pada 7 Mei tetapi kami masih sambut bersama," kata Betty.
Pada Sabtu pertama bulan ini, mereka menikmati jamuan pada sambutan hari lahir mereka yang diadakan di Restoran Hao Xiang Chi, Centro Mall di Klang, Selangor, bersama kira-kira 40 ahli keluarga terdekat.
Sambil tersenyum lebar, adik-beradik itu memotong kek sambil ahli keluarga lain bersorak dan menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir.
Mereka juga mungkin merupakan kembar tiga yang pertama dilahirkan di Klang, berdasarkan artikel akhbar Inggeris terdahulu yang diterbitkan pada 1959.
"Menjadi kembar tiga adalah unik. Walaupun kami mendapat tahu terdapat satu lagi kembar tiga yang mengaku sebagai yang pertama di Klang, mereka ternyata lebih muda daripada kami.
"Jadi, kami mungkin kembar tiga pertama di bandar ini yang berusia 70 tahun pada tahun ini," kata Betty.
Adik-beradik ini kekal rapat sepanjang hidup mereka malah tinggal berdekatan antara satu sama lain di Klang.
Betty, yang merupakan anak sulung daripada mereka bertiga berkata, Philip sering menyandang watak abang walaupun merupakan anak bongsu.
"Kami mempunyai enam lagi adik beradik tetapi Philip sentiasa melindungi dan menjaga kami dengan baik
"Kami bersyukur kerana kami masih sihat dan boleh melakukan perkara yang kami suka," tambahnya.
Mengimbas kembali zaman kanak-kanak, Philip teringat bahawa ketiga-tiga mereka berpakaian sama.
"Masa itu lebih mudah untuk ibu bapa kami memakaikan kami pakaian yang sama dan kami melakukan ini sehingga kami berusia sembilan tahun.
"Betty akan berpakaian seperti kami lelaki, berseluar pendek dan berbaju putih.
"Ibu bapa kami sangat berbangga kerana mempunyai empat generasi anak-anak daripada kira-kira 80 ahli keluarga secara keseluruhan dan masih dikira," tambah Philip.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa mereka, Steven berkata, bukan mudah untuk ibu bapa mereka membesarkan mereka bertiga, apatah lagi sembilan anak.
"Kami sangat mengagumi ibu bapa kami yang telah bekerja keras untuk menyokong kami.
"Arwah bapa kami, Teh Teong Sah bekerja sebagai ketua kerani ketika berusia 17 tahun sebelum memulakan syarikatnya.
"Dia berjaya membesarkan kami semua," katanya.
Steven berkata bahawa mereka semua mempunyai kehidupan yang memuaskan dan gembira kerana mempunyai keluarga yang penyayang.
"Setiap Ahad, mereka yang bebas akan pergi ke rumah Philip dan makan malam bersama," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
