Forensik syak kaki, badan milik pendaki sama yang hanyut di Gunung Suku


  • 112
  • Rabu, 18 Mei 2022

Pasukan penyelamat melakukan pencarian di kawasan alur air di Gunung Suku, Simpang Pulai. — Bomba Perak

PAKAR forensik mengesyaki bahagian kaki dan badan yang ditemui pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat dua wanita hilang di Gunung Suku, Simpang Pulai, Kinta, Perak Ahad lalu merupakan individu sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua keluarga telah diambil pada Selasa untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan identiti.

"Pakar Forensik mengesyaki kedua-dua kaki dan badan yang dijumpai merupakan sebahagian daripada badan mangsa yang sama.

"Di samping itu, pihak forensik hospital berkenaan berjaya menimbulkan cap jari pada separuh badan yang dijumpai itu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Media melaporkan pasukan penyelamat menemui anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita berkenaan.

Bahagian kaki kiri itu ditemui kira-kira pukul 5.05 petang pada Ahad manakala separuh badan manusia dijumpai dalam timbunan tanah kira-kira pukul 10.20 pagi Isnin.

Terbaharu, dua cebisan anggota badan dipercayai milik manusia ditemukan dalam operasi yang disertai 63 anggota daripada pelbagai pasukan dan agensi.

Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dilaporkan dihanyutkan kepala air ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pendaki, tubuh manusia, maut, hanyut, Gunung Suku,