StudioCanal minat syot filem di Malaysia


  • Hiburan
  • Rabu, 18 Mei 2022

Suraya Filem Production dan StudioCanal telah bekerjasama selama 20 tahun dan ingin mempromosikan FIMI kepada syarikat antarabangsa. — Agensi

STUDIOCANAL, penerbit dan pengedar filem di Perancis, menunjukkan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi penggambaran filemnya.

Pengarah Suraya Filem Production (M) Sdn Bhd Shures.R berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Produksi StudioCanal, Elsa Bonomi serta Ketua Jualan dan Pengedarannya Mathilde Mourey semasa sesi perbincangan dan makan tengah hari bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Selasa.

Beliau berkata, syarikat itu juga berminat dengan rebat tunai 30 peratus melalui Insentif Filem di Malaysia (FIMI) dan tambahan sehingga lima peratus melalui ujian budaya.

"Selama ini kita buat pengedaran, kita beli banyak kandungan dan sekarang kenapa tidak kita bawa produksi ke Malaysia, kalau jalan cerita memerlukan latar belakang Malaysia kenapa tidak datang ke Malaysia daripada ke Thailand atau negara lain dan kita ada rebat yang lebih baik.

"Mereka (StudioCanal) telah memutuskan untuk membawa ketua pasukan produksi mereka ke Malaysia untuk meninjau semua tempat yang mereka ingin untuk projek akan datang, perbualan antara StudioCanal dan Tan Sri Annuar Musa seperti 99 peratus akan menjadi kenyataan,” katanya pada majlis resepsi sesi perangkaian delegasi Malaysia sempena Marche Du Filme, di Cannes, Perancis malam Selasa.

Screenshot 2022-05-18 at 16-58-35 studiocanal films - Google Search

Studiocanal SAS ialah syarikat pengeluaran dan pengedaran filem Perancis yang memiliki perpustakaan filem ketiga terbesar di dunia. Agensi

Shures berkata, Suraya Filem Production dan StudioCanal telah bekerjasama selama 20 tahun dan usaha ini merupakan peluang untuknya mempromosikan FIMI kepada syarikat itu yang tidak ditawarkan oleh negara lain.

"Sebab itu kami mencadangkan kepada StudioCanal dan kemudian mereka juga sangat gembira dengan rebat dan menteri yang mengalu-alukan mereka membuat penggambaran di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, mempromosi Malaysia sebagai destinasi penggambaran antarabangsa akan memberi pulangan yang baik kepada negara terutama dari segi ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan untuk bekerja dengan syarikat antarabangsa.

StudioCanal, katanya, juga merancang untuk mempromosikan FIMI kepada syarikat antarabangsa lain termasuk Lionsgate serta syarikat penerbitan dari Iran dan India.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, selain mempromosi dan menjual produk kandungan kreatif negara, tujuan utama Malaysia dalam pasaran filem itu adalah untuk menarik pelabur asing ke negara melalui FIMI.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

StudioCanal, Finas, Wayang, Filem, Lakonan, Syarikat