Konvoi PM tiba dulu sebelum ambulans — Polis


  • Primer
  • Isnin, 27 Dis 2021

TANGKAP layar yang memaparkan kenderaan ambulans ditahan ketika konvoi Perdana Menteri dalam perjalanan ke Hulu Langat, Selangor.
PADA Ahad, tular satu video yang memaparkan sebuah ambulans ditahan anggota polis trafik di sebuah persimpangan jalan raya untuk memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kejadian yang berlaku di simpang jalan raya bersebelahan Masjid Al-Mustaqim, Hulu Langat, Selangor itu mendapat reaksi negatif daripada netizen yang beranggapan bahawa keutamaan seharusnya diberikan kepada ambulans.

Namun, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari'at berkata, ketika kejadian, konvoi Perdana Menteri sebenarnya tiba lebih awal berbanding ambulans tersebut.

"Kejadian tersebut berlaku pada Ahad kira-kira pukul 11.30 pagi semasa konvoi Perdana Menteri dalam perjalanan untuk melihat kerja-kerja pembersihan yang dilakukan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

"Semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan dan anggota bertugas di simpang berkenaan telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan itu dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

Menurut Azman, tindakan itu diambil memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan.

Jelasnya, tindakan diambil anggota trafik berkenaan juga selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah Lalu Lintas No.9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam video tersebut, jika anggota trafik memberi keutamaan jalan kepada kenderaan pacuan empat roda dan ambulans tersebut yang mahu keluar dari simpang ke jalan utama, tindakan itu boleh mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya.

"Disebabkan itu, konvoi yang berada di jalan utama telah diberikan keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan anggota trafik itu," katanya.

Ujar Azman, sebaik konvoi melepasi persimpangan itu, anggota trafik telah mengambil langkah segera dengan memberi keutamaan jalan kepada ambulans.

Tambahnya, pihaknya sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulans dan bomba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram