Nyaris dimalukan Kemboja, Harimau Muda ‘cari nahas’ elak Indonesia, jumpa Vietnam


  • Podium
  • Isnin, 16 Mei 2022

Dua gol Malaysia disumbangkan oleh Hadi Fayyadh ketika pertemuan terakhir peringkat Kumpulan B menentang Kemboja, petang tadi. — Facebook/FAM

PERLAWANAN terakhir peringkat Kumpulan B skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) berdepan Kemboja pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada Isnin menyaksikan Harimau Muda hanya berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.

Jika Thailand menewaskan Laos dalam satu lagi aksi Kumpulan B malam ini, ini bermakna skuad kendalian Brad Maloney yang mengutip lapan mata selepas empat perlawanan terpaksa berpuas hati sebagai naib juara kumpulan, sekali gus bakal bertemu Vietnam selaku juara Kumpulan A di peringkat separuh akhir manakala Thailand pula akan menentang Indonesia.

Meskipun kebal dengan rekod tanpa kalah pada edisi kali ini, ia sememangnya jalan sukar buat skuad muda negara untuk ke final berikutan reputasi Vietnam selaku penyandang pingat emas pada Sukan SEA 2019, selain harus berdepan ribuan penyokong tuan rumah.

Malaysia sepatutnya mampu meraih kemenangan dalam perlawanan menentang Kemboja, rentetan anak-anak buah Brad Maloney itu dirasakan lebih mudah menempah slot final jika bertemu dengan musuh tradisi, Indonesia.

Seorang penyokong, Nur Ira berasakan Malaysia memiliki peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol ketika berdepan Kemboja sekali gus muncul juara kumpulan, namun serangan skuad muda negara tidak disudahkan dengan baik.

"Malaysia ni padahal boleh je pilih jalan senang tapi kenapa pilih juga jalan susah? Jumpa Indonesia boleh lagi terima, ini jumpa Vietnam... dah la kita badi dengan diorang.

"Lagi-lagi (bermain) di tempat keramat mereka. Banyak peluang gol tapi penyudah memang tumpul sangat-sangat. Pertahanan sangat-sangat la down. Kemon laaa perbaiki apa yang patut nanti. Apapun tahniah Malaysia," tulis di ruangan komen Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Seorang lagi penyokong, Azli Faizal berasakan tiada peningkatan prestasi daripada skuad muda negara berbanding perlawanan sebelum ini.

"Tak tahu taktikal atau sengaja nak bagi seri, tapi kalau ikut sejarah, Kemboja ni sepatutnya kita punya 'lauk' je...team lain dah meningkat tapi Malaysia masih sama.

"Bukan tak sokong tapi perlukan lebih dari apa yang diorang bagi sekarang dan tahap Malaysia sepatutnya meningkat," katanya.

"Bukan sengaja tapi defensive slow dan offensive tak sharp...kalau ikutkan Malaysia patut menang," balas Myo Meilin kepada komen tersebut.

Kedua-dua aksi separuh akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA 2021 bakal berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Khamis (19 Mei). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram