Persimpangan maut di Seri Kembangan gara-gara lampu isyarat rosak


  • Massa
  • Rabu, 11 Mei 2022

Keadaan persimpangan Jalan Besar di Seri Kembangan, Selangor yang tidak selamat ekoran kerosakan lampu isyarat.

KITA memikirkan yang bila lampu isyarat bertukar hijau, pasti keadaan lalu lintas sudah selamat untuk dilalui tetapi berbeza pula dengan apa yang dihadapi penduduk Seri Kembangan, Selangor.

Lampu isyarat di Jalan Besar-Jalan BS3/1 mengalami kerosakan sejak empat bulan yang lalu dan menjadikan laluan tersebut sebagai antara lokasi sering berlakunya kemalangan.

Kemalangan berlaku bila kenderaan yang ingin masuk ke simpang Jalan Besar dari arah Jalan BS3/1 berpotensi dilanggar kenderaan yang melalui Jalan Besar dari Serdang yang sering dipandu laju.

Kerosakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Besar yang membuatkan pengguna di laluan itu tidak memberhentikan kenderaan sekali gus meningkatkan risiko untuk merempuh kenderaan dari arah Jalan BS3/1.

1580887

Ilustrasi yang menunjukkan keadaan lalu lintas di persimbangan Jalan Besar, Seri Kembangan.

Pengerusi MCA Bahagian Puchong, Datuk Liew Yuen Keong dan Ketua Biro Pemantauan Kerajaan, Dr Wong Kok Fye membangkitkan perkara ini dan menggesa pihak berkuasa membaiki lampu isyarat di Jalan Besar yang rosak.

Mereka berkata, semakan dengan balai polis Seri Kembangan mendedahkan bahawa tidak kurang daripada 10 kemalangan telah berlaku di persimpangan itu sejak Januari.

“Pergerakan lalu lintas dari Jalan BS 3/1 ke Jalan Besar menghala ke Taman Universiti tidak diselaraskan dengan baik.

"Walaupun lampu di Jalan BS 3/1 berwarna hijau, lalu lintas dari Serdang di sepanjang Jalan Besar tidak mempunyai petunjuk bahawa lalu lintas akan memasuki lorong mereka," kata Liew.

Yuen Keong dan Kok Fye juga menyatakan, di jalan tersebut terlalu kurang papan tanda amaran sedangkan laluan itu mempunyai kadar lalu lintas yang tinggi disebabkan berdekatan dengan kawasan komsersial.

"Perlu ada penyelarasan yang lebih baik antara pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan jalan raya yang lebih baik untuk pemandu," kata Yuen Keong.

Tambahnya, Jalan BS 3/1 terletak di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) manakala Jalan Besar adalah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Sementara itu, MBSJ dan JKR ketika dihubungi memaklumkan yang mereka sedang meneliti permasalahan yang berlaku. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram