KDA tiada masalah gaji — MB Kedah


  • Podium
  • Rabu, 11 Mei 2022

Dakwaan isu tunggakan gaji pemain KDA FC itu tersebar meluas selepas seorang pengguna media sosial berkongsi menerusi satu hantaran di Facebook.

KECOH dakwaan dalam kalangan penyokong bahwa pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC terpalit dengan isu tunggakan gaji dan kononnya perkara itu menjadi punca kekalahan pasukan itu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Menjawab dan sekali gus menolak dakwaan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga merangkap Presiden KFA berkata, tiada sebarang tunggakan gaji pemain seperti yang disebarkan dalam kalangan penyokong.

Malah KDA FC, juga tidak teragak-agak untuk menyaman mana-mana pihak yang menyebarkan berita fitnah itu sehingga mendakwa aksi hambar pasukan Hijau Kuning akhir-akhir ini berpunca masalah tunggakan gaji.

Menurut Sanusi menerusi kenyataan pada Rabu, pihaknya telah memaklumkan pengurusan KDA FC bahawa tiada sebarang tunggakan gaji melibatkan pasukan itu dan beliau akan mengambil tindakan mahkamah terhadap penyebar fitnah itu yang mana dianggap akibat perbuatan ‘gatal tangan’ mereka sendiri.

Berkaitan prestasi pasukan yang kurang memberangsangkan, Sanusi berkata, beliau juga turut tidak begitu gembira dengan situasi tersebut.

“Sebagai Presiden KFA saya tidak akan masuk campur, saya juga seperti peminat yang lain, kita mahu Kedah menang.

“Saya difahamkan akan ada rundingan dengan pemain. Mungkin pemain-pemain yang cedera dan lambat pulih akan dipertimbangkan kedudukannya,” katanya lagi.

Dakwaan isu gaji itu tersebar meluas selepas seorang pengguna media sosial berkongsi menerusi satu hantaran yang memuat naik tangkap layar mesej beberapa individu di Facebook.

Berdasarkan daripada kandungan mesej tersebut seperti didakwa individu yang menggunakan nama Chef Lalala, berdasarkan info daripada salah ahli pasukan KDA FC, pasukan itu sudah didakwa empat bulan tidak membayar gaji pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram