Lima sekeluarga cedera rumah meletup dipercayai kebocoran gas memasak di Nibong Tebal


  • 112
  • Isnin, 09 Mei 2022

Keadaan dalam rumah yang meletup dipercayai akibat kebocoran gas memasak. — Kedah Online

LIMA sekeluarga mengalami kecederaan selepas rumah mereka di Taman Cenderawasih, di Nibong Tebal, dekat Seberang Perai, Pulau Pinang berlaku letupan dipercayai akibat kebocoran gas dalam kejadian malam Ahad.

Kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya dua unit rumah lagi terutamanya di sebelah kiri dan kanan rumah mangsa rosak serta sebuah motosikal dan sebuah kereta, yang masing-masing diletakkan di bahagian hadapan dan belakang rumah tersebut juga rosak akibat letupan berkenaan.

Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abd Syukur @ Mohd Ilhami Musa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian letupan membabitkan tiga unit rumah setingkat itu pada pukul 9.45 malam sebelum jentera pertama terus bergegas ke lokasi.

"Apabila pihak bomba tiba mendapati terdapat tiga buah rumah iaitu nombor 141, 143 dan 145 yang terletak bersebelahan dengan anggaran keluasan 74 meter persegi setiap rumah telah mengalami kesan kemusnahan seakan terkena bahan letupan.

"Pemeriksaan awal bomba mendapati bahagian bumbang dan juga struktur dinding rumah mengalami kerosakan yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas masakan.Peratusan kemusnahan pada rumah ialah anggaran 70 peratus (nombor 143) dan dua buah lagi 10 peratus," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Abd Syukur berkata, berdasarkan maklumat, lima ahli keluarga dari rumah nombor 143 mengalami kecederaan dan letupan tersebut juga dipercayai bermula dari kediaman tersebut sehingga menyebabkan dua unit rumah yang terletak bersebelahan turut rosak.

"Sebaik kami tiba, lima mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dan pasukan kami menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, mereka yang cedera terdiri daripada seorang remaja perempuan, seorang lelaki dan perempuan dewasa serta pasangan kembar kanak-kanak lelaki yang berusia lima hingga 35 tahun dengan seorang daripada kanak-kanak itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP, manakala empat lagi dirawat di wad di hospital yang sama.

"Kejadian letupan gas itu menyebabkan rumah keluarga tersebut rosak teruk dan ketika insiden berkenaan, mereka baru pulang ke rumah dan semasa membuka pintu, tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan lima orang ahli keluarga cedera," katanya.

Katanya letupan tersebut juga mengakibatkan rumah jiran sebelah kiri rosak di bahagian ruang tamu dan bilik ke dua manakala sebuah lagi rumah mengalami kerosakan di bahagian dapur, bilik air dan bumbung siling ruang tamu.

Dalam pada itu, jiran yang juga saksi kejadian R. Sumathi, 44, berkata, dia sangat terkejut apabila melihat mangsa sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berlumuran darah dengan kulit yang hampir tersiat berada di hadapan rumahnya ketika membuka pintu pagar.

"Mereka lari ke rumah saya lepas letupan itu berlaku sambil menangis dan menjerit "tolong...gas meletup, gas meletup" saya terus bantu dengan hantar mereka ke Hospital Sungai Bakap (HSB) dengan kereta saya manakala sebahagian lagi mangsa menaiki kereta rakan saya (mangsa yang cedera ringan).

"Saya tunggu mereka di hospital sampai pukul 3.30 pagi tadi dan mereka kini telah dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut," katanya yang juga rakan baik kepada keluarga mangsa tersebut.

Katanya, mereka yang cedera merupakan dua anak perempuan pemilik rumah itu berusia 14 tahun dan 20 tahun serta bapa saudara mereka berumur 35 tahun bersama dua anak kembarnya iaitu kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Seorang lagi saksi kejadian yang juga jiran sebelah rumah mangsa, Mohd Hashim Ahmad, 41, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik manakala isteri dan anaknya pula berada di ruang tamu sebelum terkejut dengan bunyi letupan serta gegaran kuat.

"Saya pada mulanya ingat gempa bumi. Rupa-rupanya ada letupan di sebelah rumah dan kami terus keluar dari rumah kerana bimbang berlaku letupan lagi.

"Sebaik sahaja keluar, orang ramai sudah berkumpul di hadapan rumah kami. Rumah saya mengalami kerosakan siling, dinding dan beberapa perkakasan elektrik," katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM30,000," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram