Tragedi subuh raya, lima buah rumah dijilat api di Penampang


  • 112
  • Isnin, 02 Mei 2022

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran melibatkan lima buah rumah di Penampang pada awal pagi Isnin. — Bomba

ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang warga emas yang pengsan di hadapan rumahnya, dalam kebakaran melibatkan lima buah rumah di Penampang dekat Kota Kinabalu, Sabah pada pagi Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.11 pagi.

Beliau berkata, pihaknya menemui seorang lelaki berusia 60-an dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan salah sebuah rumah sejurus tiba di tempat kejadian.

“Kami percaya dia pengsan akibat trauma kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pasukan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) jabatan itu segera merawat lelaki itu sebelum menyerahkannya kepada paramedik dari Kementerian Kesihatan yang turut menjawab panggilan tersebut.

Beliau berkata, di sebalik usaha bomba, tiga daripada lima rumah yang terbakar itu musnah sepenuhnya manakala dua lagi terjejas di beberapa bahagian.

Tiga buah kereta dan dua motosikal juga rosak teruk akibat kebakaran itu.

Misran berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.43 pagi, dan operasi tamat pada pukul 8.03 pagi.

Dalam kejadian berasingan, Jabatan bomba dikerah ke lokasi kejadian selepas tiga lori tangki terbakar di pantai timur daerah Sandakan pada malam Ahad.

Misran berkata, bomba menggunakan gabungan air dan buih untuk memadamkan kebakaran. Sebuah lori musnah manakala dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus.

“Syukur, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram