Tiga beranak melecur dalam kebakaran empat rumah di Ipoh


  • 112
  • Rabu, 27 Apr 2022

Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Meru 2B, Jelapang pada Selasa. — JBPM Perak

SEPASANG suami isteri serta seorang anak perempuan mereka melecur dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Hala Taman Meru 10, Taman Meru Fasa 2B di Ipoh, Perak pada Selasa malam.

Jurucakap Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh serta Pasukan Bomba Sukarela dari Menglembu dan Chemor digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.04 malam.

"Kebakaran itu membabitkan empat rumah teres setingkat yang terbakar antara lima hingga 80 peratus.

"Kebakaran itu menyebabkan seorang lelaki berusia 32 tahun itu melecur tahap tiga manakala isterinya melecur di bahagian tangan serta anak perempuannya melecur di kaki," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jurucakap itu berkata, bagaimanapun, anak lelaki pasangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, anggota bomba melakukan pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 30 meter menggunakan sumber air dari pili bomba dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.20 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram