Padah buli OKU, penganggur ditahan di Taiping


  • 112
  • Ahad, 08 Mei 2022

Tangkap layar video tular memaparkan remaja lelaki OKU dibuli oleh beberapa orang lelaki.

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai ditampar dan dibuli di kawasan Taman Tasik Taiping di Taiping, Perak pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek yang tidak bekerja berumur 22 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 10.45 malam Sabtu.

"Suspek ditahan reman tiga hari mulai hari ini (Ahad) hingga Selasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Polis pada Sabtu mengesan satu video berdurasi seminit dua saat yang ditularkan di laman sosial Facebook bertajuk ‘Budak OKU lelaki Melayu kena tampar dan dibuli di Taman Tasik Taiping’.

Ekoran daripada penularan video tersebut, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Osman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa berumur 13 tahun seorang diri beriadah menggunakan basikal di taman itu dan motif kejadian berpunca apabila suspek ingin meminjam basikal milik mangsa.

Beliau berkata, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan siasatan sedang diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram