SELEPAS satu demi satu pembongkaran mengenai budaya 'ragging' doktor pelatih (HO) di hospital awam di negara ini, semakin banyak pihak tampil menuntut keadilan agar satu rombakan terhadap sistem sedia ada dikaji bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa depan.
Tidak kurang juga yang berani membuka mulut menceritakan pengalaman sendiri semasa pernah menjadi doktor pelatih.
Seorang doktor perubatan, Dr Firdaus Ilias menerusi catatan di Facebook pada Khamis tidak menolak bahawa budaya buli dan rasisme memang terdapat di mana-mana tidak kira di tempat kerja, mahupun di luar tempat kerja.
Dia turut mengalami pengalaman pahit dan manis semasa menjadi doktor pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.
Salah satunya adalah ketika posting kelima di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) yang mana ketika itu dia perlu menjalani satu tempoh dipanggil 'tagging'.
'Tagging' dalam konteks itu bermaksud akan digandingkan bersama doktor pelatih kanan (SHO) atau pegawai perubatan (MO) dan berlatih prosedur asas serta proses dokumentasi.
Secara purata, 'tagging' biasanya berlanjutan hingga 15 jam sehari, untuk tempoh dua minggu dengan satu hari rehat sepanjang tempoh berkenaan.
Apa yang terjadi kepada Dr Firdaus ialah dia perlu menjalani 'tagging' melebihi tempoh dua minggu itu walaupun sudah berkeupayaan melakukan prosedur asas dan proses dokumentasi seperti dinyatakan.
"Bayangkan, senior poster, 'tagging' lebih dua minggu, what the heck, gila ke, (dah pandai clerk, pandai tackle patient, pandai prosedur branula, boleh conduct delivery, pandai refer) tapi still 'tagging' dua ke tiga minggu, yang ini bukan MO luar ya, bangsa saya sendiri.
"Saya report ke MO incharge HO, terus tukar mentor dan offtag assesment dilakukan oleh Resigtrar. Selepas kes saya ini, sistem offtage di HRPB terus ditukar kepada bertulis (kalau tak silap) dan saya kekal di wad kelas pertama sampai habis posting," ceritanya.
Tangkap layar perkongsian Dr Firdaus ketika menjadi HO di HRPB. — Facebook
Menerusi perkongsian itu, Dr Firdaus juga meninggalkan lima tip kepada individu yang bakal dan sedang menjadi HO.
Sebagai bekas HO, dia berpesan agar mencari rakan-rakan HO yang boleh dipercayai atau kawan yang boleh susah senang bersama-sama.
Selain itu, katanya, HO perlu sentiasa merendah diri dan berbuat baik kepada staff nurse, sister dan pembantu perubatan di wad.
"Jangan terlalu simpan di dalam hati tentang perangai dan kata-kata mereka (SHO atau MO) yang belum tentu pandai dalam semua perkara.
"Buat apa yang boleh menggembirakan diri sendiri. Setiap petang, kalau tiada syif panjang, saya akan bermain badminton atau bola sepak," katanya.
Tambahnya, selalulah berbuat baik kepada seramai boleh kakitangan hospital, tidak kira pakar, konsultan, ketua jabatan (HOD), ahli farmasi, tukang masak, tukang buat air dan sebagainya.
"(Ini) hanya untuk network, bukan cable. Saya sangat rapat dengan HOD radiologi dan beberapa konsultan, jadi saya lebih selesa untuk berjumpa dengan mereka jika memerlukan apa-apa bantuan.
"Saya pasti dapat air percuma di kafe, setiap kali datang singgah di sana. Sewaktu di wad pediatrik, setiap night call, semestinya ada makanan untuk saya dan di wad 7A, sentiasa dijemput untuk makan minum di pantri," katanya.
Dia menyimpulkan bahawa budaya buli tidak sepatutnya menjadi adat yang terus-menerus dilakukan di dalam komuniti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram