Pulau Pinang adakan mesyuarat khas bincang isu doktor pelatih


  • Primer
  • Jumaat, 06 Mei 2022

Beberapa doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang mengadu sering menjadi mangsa buli.

EXCO Kesihatan Pulau Pinang akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama doktor pelatih dan doktor junior bagi membincangkan mengenai isu di tempat kerja yang dihadapi mereka pada masa ini.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, selain itu, Majlis Mesyuarat Jawatakuasa Kesihatan Kerajaan Negeri juga akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, mesyuarat itu akan membincangkan isu membabitkan doktor pelatih dan doktor junior untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi mereka.

"Saya telah memaklumkan isu ini kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan kepada mereka yang terlibat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

''Saya juga akan mengadakan satu Majlis Mesyuarat Jawatakuasa Kesihatan Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu membabitkan doktor pelatih dan doktor junior secara formal untuk mencari penyelesaian dan perubahan kepada masalah yang dihadapi mereka,'' katanya.

Katanya lagi, KKM mempunyai ribuan kakitangan yang ikhlas dan bekerja keras untuk menyelamatkan ribuan nyawa.

''Saya menerima sangat banyak pandangan tentang isu yang dihadapi doktor pelatih dan doktor junior serta cadangan tentang cara untuk merombak sistem sedia ada.

''Saya berharap KKM akan mengubah budaya menyimpan segala-galanya secara rahsia. Ia amat mengecewakan kerana sukar untuk menembusi tembok ini bagi mendapatkan kebenaran dan menyelesaikan masalah sebenar,'' katanya.

Pada Rabu lalu, media melaporkan beberapa individu yang pernah dan sedang menjadi doktor pelatih berkongsi pengalaman sendiri berhubung perkara yang dilihat oleh pengkritik sebagai budaya buli yang berleluasa di hospital awam.

Kebanyakan responden mendakwa, ia adalah pengalaman perit dan Hospital Pulau Pinang merupakan 'hospital paling teruk' untuk doktor pelatih di negara ini.

Hampir semua mendakwa mereka dibebankan dengan kerja yang terlalu banyak, didera dan dibuli oleh kakitangan hospital termasuk jururawat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram