Hampir 10 tahun berlalu, bekas doktor pelatih ini masih ingat muka-muka pembuli di hospital


Menurut Hijaz, gambar (kanan) menggambarkan bagaimana dirinya menggunakan makan sebagai jalan keluar hadapi keadaan stress yang melampau pada waktu itu.

INSIDEN meragut nyawa yang menimpa seorang doktor pelatih (HO) di Hospital Pulau Pinang (HPP) membuka satu demi satu cerita mengenai budaya buli yang dilakukan dalam kalangan petugas bidang perubatan itu.

Malah, kejadian berkenaan juga membuka jalan untuk lebih banyak individu tampil lebih berani di platform media sosial untuk menceritakan pengalaman dibuli ketika menjadi doktor pelatih.

Seorang pensyarah dan pengamal perubatan, Dr Hijaz Ridzwan menceritakan pengalaman sendiri apabila dibuli sewaktu menjadi HO pada posting keempat sehingga 'pembuli' berkenaan mengancam ingin menggagalkannya.

Menerusi catatan di laman Facebook pada Sabtu, dia menceritakan pembuli berkenaan merupakan seorang doktor pakar yang bertugas sebagai mentornya, malahan mendakwa individu itu sememangnya terkenal dengan sikap yang suka mendera serta meraba HO wanita.

netz

Tangkap layar kisah Hijaz dibuli sewaktu menjadi HO di sebuah hospital.

"Kami bertiga bertugas shif pagi iaitu dari 7 pagi hingga 7 malam. Pada pukul 7 malam kami bertukar ke pasukan malam yang sepatutnya ada dua orang. Salah seorang daripadanya belum hadir tapi passover diteruskan dan kami punch out dan balik seperti biasa.

"Malam tersebut merupakan malam yang luar biasa. Pelbagai mini emergencies berlaku, ada pesakit pengsan dan juga beberapa lagi tidak stabil. Rupa-rupanya pasangan kawan kami yang sepatutnya oncall telah 'EL' (Emergency leave) tak ingat kenapa dan menyebabkan hanya satu HO saja yang jaga wad pada malam itu. Kami hanya tahu tentang perkara ini keesokan paginya.

"Doktor pakar malam itu telah memanggil kami bertiga yang bertugas pada waktu pagi. Kami dimaki, diherdik dan dipanggil macam-macam nama. Kenapa? Sebab tak stayback dan cover kawan yang EL," ujarnya.

Menurutnya, disebabkan isu berkenaan doktor pakar itu memberi amaran untuk menggagalkannya dan rakan-rakan HO lain sehingga dia terpaksa mengikutnya ke hulur hilir untuk memastikan dapat lulus latihan di hospital itu.

"Manusia tersebut memang suka dera orang. Siap raba houseman perempuan dan ajak keluar minum (ketika oncall malam-malam). Ye dia dah kahwin. Semua yang jadi mangsa akan serba salah. Nak lapor memang takut. Tak pasal-pasal kena seksa sepanjang posting. Atau kena extend. Setahu aku semua diam. Telan saja demi bertahan.

"Memang kena seksa mental. Aku siap kejar dia di koridor wad merayu, please examine me!! Dia senyum saja lepas itu berlalu pergi macam tu saja. Selama tiga minggu, aku camping luar OT tunggu dia habis, tapi dia buat tidak peduli saja. Memang rancang nak gagalkan aku sebab 'HO did not approach supervisor for assessment within the time allocated’

Dr Hijaz bagaimanapun bernasib baik kerana diluluskan oleh doktor pakar lain setelah menceritakan kisahnya yang tidak dihiraukan dan dibuli oleh doktor pakar sebelum ini.

Namun sehingga kini, beliau masih mengingati muka mereka yang membulinya sewaktu HO di hospital itu dan agak susah untuk dia melupakan tindakan pembuli berkenaan terhadap dirinya.

"Walaupun dah hampir 10 tahun meninggalkan tempat itu, aku masih ingat muka-muka yang mengherdik, menghina, membaling fail, menyepak cardiac table, mengetuk kepala, macam-macam lagi. Maafkan? Mungkin, lupakan? Tidak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram