KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah 'taskforce' (pasukan bertindak) bebas bagi menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pasukan petugas khas itu juga akan berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.
"Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari Ketua Jabatan mendiang di Pulau Pinang.
"Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan," katanya dalam kemas kini di laman Twitter pada Jumaat.
Pada Rabu lalu, media melaporkan beberapa individu yang pernah dan sedang menjadi doktor pelatih berkongsi pengalaman sendiri berhubung perkara yang dilihat oleh pengkritik sebagai budaya buli yang berleluasa di hospital awam.
Kebanyakan responden mendakwa, ia adalah pengalaman perit dan Hospital Pulau Pinang merupakan 'hospital paling teruk' untuk doktor pelatih di negara ini.
Hampir semua mendakwa mereka dibebankan dengan kerja yang terlalu banyak, didera dan dibuli oleh kakitangan hospital termasuk jururawat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram