KESESAKAN lalu lintas di pantai timur terutama pada musim perayaan dijangka dapat diselesaikan sebaik sahaja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap pada 2026, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menteri Pengangkutan itu berkata, projek itu akan memudahkan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman menjelang musim perayaan pada masa akan datang.
"Bagi mereka yang pulang ke pantai Timur, mereka terpaksa menanggung kesesakan yang teruk ketika ini.
"Kami berharap masalah kesesakan ini dapat diselesaikan dengan pembinaan ECRL yang dijangka siap pada 2026.
"Hanya empat jam perjalanan mereka dari Kelantan ke Gombak dan begitu juga sebaliknya," katanya.
Presiden MCA berkata demikian kepada akhbar ketika ditemui semasa rumah terbuka Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru, Johor pada Selasa.
Tambahnya, keadaan lalu lintas di semua jalan utama seluruh negara setakat ini lancar dan terkawal, walaupun berlaku kesesakan teruk di kawasan tertentu.
"Buat masa ini, tiada kemalangan besar dilaporkan dan kami berharap orang ramai terus berhati-hati di jalan raya," katanya.
Turut hadir bersama Dr Wee pada rumah terbuka adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Lee Ting Han, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pekan Nanas Tan Eng Meng, Adun Bekok Tan Chong, serta beberapa pemimpin MCA negeri. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram