'Apa guna teruskan projek besar tapi rakyat lapar'


  • Politik
  • Selasa, 28 Sep 2021

ANWAR memberitahu kerajaan juga perlu menumpukan latihan, mutu kesihatan awam, pendidikan kepada golongan miskin desa dan bandar.— Bernama

KERAJAAN sepatutnya menangguhkan dan meneliti semula perlaksanaan projek-projek mega dan harus memberi tumpuan kepada bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbahasan RMK-12 2021-2025 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kata Anwar, tidak ada gunanya kerajaan kerajaan meneruskan projek mega sedangkan majoriti rakyat hidup dalam kesempitan.

Jelas beliau, sebaiknya kerajaan perlu tangguhkan dahulu projek-projek besar seperti projek lapangan terbang, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan teliti semula projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

“Apa faedah kita nak teruskan projek mega dalam keadaan orang kelaparan, menganggur dan pendidikan tidak bermutu yang ada sekarang.

"Tumpuan sebaliknya harus diberikan bagi meningkatkan mutu hidup rakyat yang terhimpit dan apa guna teruskan projek kalau orang tidak cukup makan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, tidak salah jika kerajaan menumpukan latihan, mutu kesihatan awam, pendidikan kepada golongan miskin desa dan bandar selain beri keutamaan kepada bumiputera.

“Kita tidak peduli peruntukan soal syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal kontrak, yang mahu lahirkan ramai jutawan kerana ramai lagi, berjuta-juta bumiputera ini yang harus diberikan perhatian,” ujarnya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat.

Ismail memberitahu, RMK12 menetapkan hala tuju strategik bertemakan 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan'.

Turut diumumkan bahawa rangkaian rel dan jalan raya bersepadu menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar serta luar bandar akan dipertingkat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik adalah aspek yang sangat penting.

Antara projek-projek utama yang telah dilaksanakan, kata Ismail Sabri, termasuk Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dan dijangka siap pada 2022.

Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang juga jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada 2023. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram