Lelaki warga asing cuba terjun tingkat 3 Kompleks Darul Kifayah


  • 112
  • Selasa, 03 Mei 2022

Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai cuba membunuh diri di Kompleks Darul Kifayah pada Selasa. — Bomba KL

ANGGOTA bomba berjaya memujuk seorang lelaki warga Indonesia dipercayai cuba membunuh diri di Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Fasa II, Kuala Lumpur pada Selasa.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, L Prakash berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.39 pagi.

"Seramai 15 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan, BBP Sentul dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati seorang lelaki dewasa berada di atas bumbung tingkat tiga,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk memujuk mangsa dan operasi dijalankan dengan keselamatan yang tinggi menggunakan ‘safety harness’ bagi kerja penyelamatan pada aras tinggi.

Tambahnya, mangsa akhirnya berjaya dipujuk dan dibawa turun dengan selamat, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sebelum operasi ditamatkan pukul 10.38 pagi.

“Mangsa yang berumur lingkungan 25 tahun itu dipercayai merupakan seorang pesakit mental dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram