Kanak-kanak lelaki maut dilanggar Y15 di Alor Setar


  • 112
  • Isnin, 02 Mei 2022

Kejadian berlaku apabila penununggang motosikal Y15 gagal mengelak kanak-kanak tersebut yang tiba-tiba melintas jalan — Sinar Harian.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dilanggar motosikal ketika sedang melintas jalan di Batu 9, Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar, Kedah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komissioner, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa Muhammad Syafiq Haikal Sahfiee yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Itam, Simpang Empat, maut di tempat kejadian.

"Polis menerima maklumat kemalangan pada pukul 1.30 tengah hari. Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang lelaki berumur 22 tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Kota Sarang Semut menghala ke Simpang Empat, manakala mangsa hendak melintas jalan dari arah kanan ke kiri.

"Lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu sedang bergerak lurus dan mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan motosikal berkenaan tidak sempat mengelak dan berlaku pelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Shukri berkata, mayat kanak-kanak dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

"Penunggang motosikal yang mengalami luka di bahagian badan sebelah kanan telah dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram