SEBANYAK 472 kawasan di Selangor akan mengalami gangguan air tidak berjadual mulai pukul 3 petang Selasa berikutan pemberhentian tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, tindakan itu susulan insiden pencemaran yang telah dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir di Dengkil, Selangor seperti yang dilaporkan dalam kenyataan rasmi Lembaga Urus Air Selangor (Luas).
Menurut kenyataan itu, kawasan terlibat adalah di Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).
Pihaknya memaklumkan, bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal dan pada masa sama pengurusan air itu mengambil langkah untuk meminimumkan impak gangguan itu kepada pengguna.
"Pengguna di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya sehingga bekalan air dapat disalurkan dan merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 untuk perkembangan semasa insiden berkenaan," menurut kenyataan itu.
Pengguna juga boleh mengajukan pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre Air Selangor yang boleh dicapai di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram