SEORANG wanita maut, suami dan anaknya cedera apabila kereta yang dipandu suaminya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Dato Ali, Kuala Perlis, Perlis, awal pagi Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komissioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, wanita berusia 33 tahun itu maut di tempat kejadian manakala suami dan anaknya mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.
"Pada kejadian 7.15 pagi itu, mangsa yang dikenali Mira Azira Mohamad, 33, disahkan maut di lokasi kejadian manakala suaminya Nor Radzuan Abd Rahman, 33, serta anaknya Rabiatul Adawiyah Nor Radzuan, empat tahun mengalami kecederaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Yusharifuddin berkata, kereta yang dipandu suami mangsa itu dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.
Katanya siasatan awal mendapati tiada kesan brek di lokasi kejadian dan keadaan cuaca baik serta jalan kering.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram