DARIPADA 'rumah puaka' menjadi kediaman idaman. Itulah yang nekad diusahakan sepasang suami isteri yang mendiami rumah terbengkalai di Taman Perumahan Jaza Seri Pasu, Pasir Puteh, Kelantan sejak berpindah ke kawasan itu pada Februari lepas.
Dalam tempoh kira-kira tiga bulan, Roziawati Rokman dan suaminya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pasir Puteh untuk membaiki rumah terbengkalai sejak 15 tahun itu dengan melakukan pelbagai kerja-kerja pemasangan meter, air, gril, cat dan ubah suai tandas serta dapur.
Menjelang Syawal, pasangan tersebut mampu tersenyum memandangkan rumah yang dibangunkan pemaju muflis itu siap untuk diduduki dengan selesa sekali gus membolehkan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri di rumah baharu.
Susun atur perabot di rumah Ziezya yang nampak kemas walaupun dihias secara sederhana. — TikTok
Seperti kebanyakan suri rumah lain, Roziawati yang mesra disapa Ziezya turut memberi sentuhan kepada kediaman baharu itu dengan dekorasi secara sederhana untuk membangkitkan mood berhari raya.
"Banyak perabot yang saya bawa dari rumah lama sebab masih elok, tapi ada juga yang beli baharu contohnya katil, rak televisyen, langsir dan meja makan tanpa mengeluarkan bajet terlalu besar untuk tujuan itu.
"Dari segi dekorasi tu biasa-biasa sahaja, cuma saya pentingkan susun atur supaya rumah nampak kemas," katanya kepada Majoriti.
Dia yang akan menyambut hari raya pertama di rumah baharu itu juga tidak ketinggalan untuk memasang lampu kelip-kelip dan pelita di sekeliling rumah supaya keceriaan lebaran dapat dirasai walaupun tanpa jiran tetangga.
Hiasan lampu kelip-kelip sudah dipasang sejak awal Ramadan pertama lagi. — TikTok
"Sejak Ramadan ke-12 lagi saya dah pasang pelita sebab suasana malam di sini gelap kerana tiada jiran-jiran lain. Lampu kelip-kelip pula Ramadan pertama dah siap pasang supaya taklah suram sangat suasana," katanya yang akan menyambut raya pertama di situ sebelum pulang ke Kemaman, Terengganu.
Sebelum ini, Ziezya dan suaminya mengeluarkan belanja hampir RM20,000 untuk kerja-kerja pembaikan kerosakan rumah termasuk menggantikan bingkai pintu dan tingkap yang dicuri.
"Keadaan rumah elok lepas diperbaiki cuma kami masih mengharapkan infrastruktur seperti jalan tar dan lampu jalan sebab suasana malam memang gelap," tambahnya.
Ketabahan dan kegigihan pasangan suami isteri itu membuat kerja-kerja pembaikan dan ubah suai rumah terbengkalai mereka menjadi inspirasi warga TikTok.
Pada 2 April lalu, Majoriti melaporkan Ziezya dan suami nekad berpindah ke rumah kos sederhana rendah berharga RM70,000 yang dibeli di Taman Perumahan Jaza Seri Pasu meskipun terbengkalai sejak tahun 2007.
Taman perumahan yang sebelum itu dikenali sebagai Taman Damai terbengkalai selepas pemaju, Nusajaza Development Sdn Bhd (Nusajaza) diisytihar muflis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram