Harumanis, utamakan pendidikan antara sisi lain Tengku Ahmad Rithauddeen dikenang anak cucu


  • Massa
  • Ahad, 01 Mei 2022

Ismail Sabri (tengah) memberikan penghormatan terakhir kepada Tengku Ahmad Rithauddeen pada Sabtu.

BAGI orang yang terdekat, beliau bukan sekadar seorang berpangkat Tan Sri yang pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet.

Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang meninggal dunia pada usia 94 tahun, adalah seseorang yang mengutamakan pendidikan dan melakukan perkara yang betul.

"Beliau sangat baik dan berdisiplin. Beliau membuat kami melakukan sesuatu dengan cara yang betul, malah perkara paling mudah seperti menutup pintu ketika keluar dan menutup lampu apabila ia tidak digunakan turut diajar.

"Malah dalam politik, apabila beliau terpaksa membuat keputusan yang tidak popular dan merasakan ia betul, beliau akan tegas mempertahankannya," kata anaknya, Tengku Farith.

Namun terdapat sisi yang berbeza bagi Tengku Ahmad Rithauddeen.

Tengku Farith berkata, bapanya sangat menggemar buah harumanis pemberian anak saudaranya.

"Apabila beliau menerima mangga itu, beliau akan mencubanya dan akan memberitahu kepada kami bahawa ia sangat masam kerana beliau mahu makan semuanya sendiri," ujarnya.

Selain itu, Tengku Farith berkata, bapanya sentiasa mementingkan pendidikan.

"Malah, beliau mempunyai dana pendidikan untuk cucu-cucunya kerana pendidikan adalah kunci segalanya.

"Pemergiannya sangat mengejutkan kami. Walaupun beliau diserang angin ahmar dua minggu lalu, doktor mengatakan paru-paru dan buah pinggangnya sudah pulih," katanya.

Screenshot 2022-05-01 132900

Tengku Ahmad Rithauddeen banyak memegang portfolio terpenting dalam Kabinet. — Bernama

Sementara itu, cucu kepada Tengku Ahmad Rithauddeen iaitu Tengku Fatin Izzati Tengku Feizaludin berkata, datuknya sentiasa menerapkan dalam keluarga bahawa pendidikan akan membawa mereka pergi lebih jauh.

"Beliau adalah sebahagian daripada faktor saya memulakan kerjaya sebagai seorang akauntan," katanya.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990.

Beliau merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas untuk membantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak di Kementerian Luar pada 1973.

Jawatan lain yang dipegang termasuk menjadi Menteri Penerangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas pada 1974, Menteri Luar (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar (1984) dan Menteri Penerangan (1986).

Tengku Ahmad Rithauddeen yang dikebumikan di Tapak Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Sabtu, meninggalkan seorang balu, Tengku Puan Seri Noor Aini Tengku Zainal Abidin dan enam anak.

Antara yang memberi penghormatan terakhir adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang menzahirkan rasa sedih atas pemergian Tengku Ahmad Rithauddeen.

Kata Ismail Sabri, Tengku Ahmad Rithauddeen banyak memberi sumbangan untuk mengukuhkan Umno sambil menambah jasanya kepada negara adalah sangat besar.

Turut hadir memberi penghormatan adalah Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga merupakan saudara kepada Tengku Ahmad Rithauddeen.

"Kami agak rapat tetapi beliau daripada belah Patani dalam keluarga kami.

"Beliau sangat aktif bersukan dan seorang yang profesional dalam hal undang-undang.

"Beliau merupakan seorang yang baik. Beliau memiliki ramai kawan dan penyokong.

"Beliau banyak muncul dalam forum antarabangsa dan bercakap bagi pihak Malaysia tentang perkara yang berkaitan dengan rantau ini. Beliau akan sentiasa diingati," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram