Paip pecah, 15 kawasan di KL alami gangguan bekalan air


  • Primer
  • Sabtu, 30 Apr 2022

Gangguan bekalan air berlaku susulan kejadian paip pecah.

SEBANYAK 15 kawasan di sekitar ibu negara akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah di Rumah Pam Pudu Ulu Baru, Taman Pertama, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kawasan terjejas adalah Bukit Permai Industri; Kampung Cheras Baru; Pandan Bistari; Taman Bukit Pandan; Taman Bukit Permai; Taman Bukit Teratai; Taman Mawar; Taman Mega Jaya; Taman Melur; Taman Mestika; Taman Muda; Taman Pandan Mewah; Taman Putra; Taman Saga dan Taman Seraya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, kerja-kerja pembaikan telah bermula pada 11.30 pagi Sabtu dan dijangka siap sepenuhnya pada 9.30 malam Sabtu.

Kenyataan itu menyebut, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan.

"Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya.

Para pengguna boleh merujuk ke semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram