Muktamad, gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei


  • Primer
  • Sabtu, 30 Apr 2022

Kerajaan tidak berhasrat untuk menunda kenaikan gaji minimum yang bermula pada 1 Mei depan.

KERAJAAN memutuskan tiada penundaan akan diberikan terhadap mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan dalam pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang akan berkuat kuasa pada 1 Mei depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan sebelum ini telah memberikan bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan Covid-19 seperti Program Subsidi Upah yang berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.

“Ini (pelaksanaan gaji minimum) juga bagi memastikan pekerja-pekerja mendapat manfaat daripada peningkatan gaji minimum,” katanya.

Menerusi pewartaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 yang dibuat pada 27 April lalu, pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa pada Mei ini akan melibatkan majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Pelaksanaan itu juga membabitkan majikan yang menjalankan sesuatu aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020.

Warta tersebut memaklumkan pengecualian pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada 1 Mei ini bagi majikan yang mengambil pekerja kurang daripada lima orang dan pelaksanaannya hanya berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

M Saravanan berkata, kelonggaran tersebut diberikan bagi memberi peluang kepada majikan kategori tersebut untuk membuat persediaan sewajarnya.

Dalam pada itu, kadar gaji minimum kepada seseorang pekerja mengikut kawasan tempat kerja bagi tempoh mulai 1 Mei hingga 31 Disember ini ialah RM1,200 bagi majlis bandar raya atau majlis perbandaran manakala RM1,100 bagi kawasan selain majlis bandar raya atau majlis perbandaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram