SEORANG wanita dan anaknya maut selepas kereta yang mereka naiki merempuh pembahagi dan terbalik.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 2.45 petang pada Sabtu.
"Siasatan mendapati kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun di sepanjang Persiaran Timur dari arah Kajang menghala ke Pinggiran Putra.
"Kenderaan yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan di sebelah kiri jalan,” katanya.
Beliau berkata, polis mengesyaki pemandu itu mengantuk ketika memandu.
"Lelaki terselamat namun isterinya yang berusia 32 tahun dan anak lelakinya berusia dua tahun maut dalam kemalangan itu," katanya.
Tambahnya, kes itu diklasifikasikan sebagai memandu secara melulu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram