Nagaenthran telah dihukum gantung di Singapura, mayat akan dibawa ke Ipoh


  • Primer
  • Rabu, 27 Apr 2022

Nagaenthran telah dihukum gantung pada pagi Rabu. — Agensi

NAGAENTHRAN Dharmalingam, lelaki warga Malaysia yang didapati bersalah mengedar dadah di Singapura telah dihukum gantung, kata keluarganya.

Adiknya, Navin Kumar, 22, ketika dihubungi berkata, hukuman mati itu telah dijalankan awal pagi Rabu.

Katanya, sejurus mayat abangnya dibawa pulang pada Rabu, upacara pengebumian akan diadakan di Ipoh, Perak.

Nagaenthran yang berasal dari Perak itu, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009, kerana menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden.

Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.

Nagaenthran, dijatuhi hukuman mati 11 tahun lepas dan dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 November 2021, bagaimanapun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman.

Peguam Nagaentran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram