
MENDIANG Nagaenthran Dharmalingam telah membuat permintaan terakhirnya sebelum hukuman mati di Singapura, kata seorang aktivis.
Aktivis hak asasi manusia Singapura, Kriestan Han menyiarkan gambar Nagaenthren berpakaian kemeja-T berkolar, seluar jeans dan kasut putih.
"Rehat dengan damai, Nagaenthran K. Dharmalingam.
"Sebelum hukuman mati, ahli keluarga dibenarkan membeli pakaian untuk dipakai banduan ketika sesi penggambaran.
"Foto-foto itu diberikan kepada keluarga sejurus sebelum atau selepas hukuman mati," kata Han dalam catatan Facebook pada Rabu.
Han berkata, adik Nageanthran, Navin Kumar memberitahunya bahawa ia adalah pakaian kegemaran mendiang.
Peguam hak asasi manusia, M. Ravi berkata, sebelum ini rumah pengebumian Malaysia telah menawarkan untuk membawa kembali jenazah Nagaenthran untuk dikebumikan.
Sementara itu, Amnesty International berkata, seorang lagi rakyat Malaysia, Datchinamurthy Kataiah, dijadualkan dihukum mati di Singapura pada Jumaat ini atas kesalahan berkaitan dadah.
Pakaian kegemaran yang dipakai oleh Nagaenthran sebelum dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Bagaimanapun, dia masih berdepan dengan tuduhan undang-undang yang belum selesai di mahkamah Singapura pada Mei.
"Perlindungan antarabangsa yang menjamin perlindungan hak mereka yang menghadapi hukuman mati menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijalankan sementara menunggu sebarang rayuan atau prosedur lain," kata pengarah serantau Amnesty International Asia Pasifik, Erwin van der Borght.
Nagaenthran, 34, yang berasal dari Perak didapati bersalah mengedar dadah di Singapura telah dihukum gantung pada pagi Rabu.
Dia ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009, kerana menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.
Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden.
Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.
Nagaenthran, dijatuhi hukuman mati 11 tahun lepas dan dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 November 2021, bagaimanapun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.
Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman.
Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram