
TINDAKAN Singapura untuk melaksanakan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia, Datchinamurthy Kataiah pada 29 April 2022 walaupun prosiding undang-undang yang sedang berjalan disifatkan sebagai menghina mahkamah dan menyalahi undang-undang, kata penasihat Lawyers for Liberty N. Surendran.
Beliau menggesa kerajaan Singapura untuk segera membatalkan notis pelaksanaan bertarikh 21 April 2022 terhadap Datchinamurthy dan membenarkan proses mahkamah diteruskan tanpa halangan.
“Untuk menyekat seseorang yang dihukum mati daripada akses ke mahkamah dengan melaksanakannya sebelum perbicaraan, adalah melanggar undang-undang antarabangsa serta Perlembagaan Singapura,” katanya.
Surendran berkata, berita mengejutkan itu disampaikan pada Jumaat (22 April 2022) kepada keluarga Datchinamurty melalui surat bertarikh 21 April 2022 daripada Perkhidmatan Penjara Singapura.
Surat itu dihantar kepada ibu Datchinamurthy di Johor.
“Warganegara Malaysia, Datchinamurthy Katiah kini dijadual hukuman mati pada Jumaat (29 April 2022) di Singapura,” katanya.
Datchinamurthy berdepan hukuman mati di penjara Changi Singapura sejak dia disabitkan pada 2015 oleh Mahkamah Tinggi kerana didakwa memperdagangkan 44.96g diamorphine.
Tertuduh bersama warga Singapura lain telah terlepas daripada hukuman mati dengan sijil khas Peguam Negara Singapura.
“Kami terkejut dan terganggu bahawa Singapura merancang untuk mengenakan hukuman mati kepada Datchinamurthy walaupun dia mempunyai prosiding undang-undang yang masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Singapura.
“Kes ini (Saman Pemula No 188 Tahun 2022) dalam senarai perbicaraan mahkamah pada 20 Mei 2022.
“Notis pelaksanaan, yang dikeluarkan walaupun prosiding undang-undang sedang berjalan, adalah pelanggaran asas hak Datchinamurthy untuk hidup dan hak untuk perbicaraan adil yang terkandung dalam Perkara 9(1) Perlembagaan.
"Tiada negara bertamadun di dunia yang menggantung seseorang di tengah-tengah proses mahkamah," katanya.
Surendran menambah bahawa dengan mengeluarkan notis pelaksanaan ini, Perkhidmatan Penjara Singapura dan Menteri Dalam Negeri Singapura jelas dan serius menghina mahkamah.
“Peguam Negara Singapura, mempunyai pengetahuan dan terlibat dalam pelaksanaan yang dirancang, sama-sama menghina mahkamah.
“Berikutan hukuman mati berjadual Nagaenthiran Dharmalingam, orang kelainan upaya mental hanya dua hari lebih awal iaitu pada 27 April 2022, adalah jelas bahawa Singapura kini mengenakan hukuman mati secara melulu tanpa menghiraukan kedaulatan undang-undang dan norma bertamadun,” katanya.
Perintah pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaentran, 34, dibuat selepas mahkamah Singapura menolak rayuan terakhirnya terhadap hukuman mati yang dikenakan kerana pengedaran dadah pada 29 Mac 2022.
Dia ditahan pada 2009 dan disabitkan kesalahan mengedar 42.72g heroin pada 2010, jenayah yang boleh dihukum dengan hukuman mati mandatori.
Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman telah ditolak pada 2011.
Pada 2017, Mahkamah Tinggi di Singapura memutuskan Nagaentran tidak layak untuk dikenakan hukuman penjara seumur hidup berdasarkan bukti daripada empat pakar psikologi dan psikiatri.
Kes Nagaenthran menarik perhatian umum pada Oktober tahun lalu selepas surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura mengenai hukuman matinya yang belum selesai pada 10 November 2021 dihantar kepada ibunya di Ipoh.
Surat yang disiarkan di media sosial itu, menarik umum yang mencadangkan Singapura supaya memberi pengampunan terhadap Nagaenthran. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram