Nagaenthran positif Covid-19, tangguh hukuman gantung


  • Benua
  • Rabu, 10 Nov 2021

AKTIVIS membuat bantahan tentang hukuman gantung Nagaenthran di Kedutaan Singapura di Kuala Lumpur baru-baru ini. — AP

PERKHIDMATAN Penjara Singapura (SPS) mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang dijadual dihukum gantung pada Rabu kerana mengedar dadah, disahkan positif Covid-19 pada Selasa dan akan menerima rawatan perubatan.

Nagaenthran K. Dharmalingam, 33, hadir di Mahkamah Rayuan pada Selasa untuk rayuan terakhir terhadap keputusan hukuman mati apabila mahkamah dimaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.

Menurut SPS, ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dilakukan terhadap Nagaenthran pada 8 November menunjukkan keputusan negatif pada hari yang sama.

"Dia dibawa ke mahkamah pada tengah hari 9 November. Selepas menerima keputusan ujian PCR positif pada petang itu, SPS segera memaklumkan mahkamah dan Nagaenthran diasingkan,” kata SPS menerusi laman sesawangnya.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkuatkuasa serta-merta sehingga semua prosiding yang tertangguh selesai.

Tambah SPS, Nagaenthran akan menerima rawatan perubatan dan prosiding akan disambung semula pada tarikh yang akan ditetapkan, selepas dia pulih.

"Nagaenthran sihat dan tanpa gejala. Dia tidak melaporkan sebarang penyakit sebelum perbicaraan mahkamahnya. Dia tidak diberi vaksin kerana memilih untuk tidak menerima mana-mana vaksin Covid-19,” ujar SPS.

Menurut SPS, sehingga 9 November, beberapa banduan dan kakitangan penjara dari Institusi A1 iaitu lokasi Nagaenthran ditempatkan disahkan positif Covid-19.

Unit penempatan yang terjejas di Institusi A1, institusi penjara, ditutup untuk mengelakkan penularan virus berkenaan.

SPS menyebut Nagaentran mempunyai kontak seketika dengan dua kakitangan yang disahkan positif.

Melihatkan kepada bilangan kes dalam komuniti semasa fasa pandemik ini, lebih banyak kes jangkitan dijangka berlaku di penjara juga dan SPS memaklumkan mengambil langkah-langkah untuk memastikan keadaan terus terkawal.

Sehingga 7 November, 97 peratus banduan yang layak sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 90 peratus selesai menerima kedua-dua dos.

Sementara itu, SPS memaklumkan sebanyak 99.5 peratus kakitangan penjara sudah lengkap divaksin.

Jelas SPS, ia akan meneruskan langkah-langkah pengurusan selamatnya untuk menjaga kesihatan dan keselamatan banduan, kakitangan, pelawat dan rakan kongsi.

"Kakitangan dan rakan kongsi yang memasuki kemudahan penjara mesti menjalani ART dua kali seminggu, manakala kakitangan luar yang memasuki penjara secara ad-hoc dikehendaki menjalani ART sebelum setiap kemasukan ke dalam penjara," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram