Kes hukuman mati Nagaenthran, Malaysia mohon budi bicara Singapura


  • Primer
  • Jumaat, 05 Nov 2021

AKTIVIS berhimpun pada Rabu bagi mendesak kerajaan Malaysia campur tangan bagi menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran. — AFP

MALAYSIA memohon budi bicara lembaga pengampunan Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran Dhamalingam, tahanan warganegara Malaysia yang dikenakan hukuman mati di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia menghormati proses udang-undang Singapura dan masih menunggu keputusan pihak berkuasa negara itu.

"Dalam hal ini saya kena ulang, kita boleh memohon melalui cara kita, berhubung dengan mengutus surat, tetapi kita tidak boleh campur dari segi urusan dan proses undang-undang di negara Singapura,” katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 dan Jasamu Dikenang di Wisma Putra pada Jumaat.

Ditanya mengenai surat yang beliau utuskan kepada Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berhubung kes itu, Saifuddin berkata, beliau masih belum mendapat jawapan balas setakat ini.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak pada 1 Jun 2020.

Pada Rabu, Saifuddin dalam kenyataan berkata, Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura terus memantau perkembangan kes berkenaan dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada lelaki itu dan keluarga. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram