Pegawai polis buat TikTok ketika serbuan dipanggil beri keterangan


  • 112
  • Isnin, 25 Apr 2022

Tangkap layar video yang dirakam seorang pegawai polis wanita secara langsung di TikTok ketika operasi serbuan dilakukan.

POLIS sedang menyiasat tindakan seorang pegawai polis wanita yang dikatakan telah membuat video TikTok secara langsung semasa operasi serbuan dilakukan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk melakukan siasatan.

“Saya telah mengarahkan jabatan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai terbabit termasuk mengambil keterangannya mengenai rakaman secara langsung semasa operasi itu.

“Kami juga ingin tahu motif dan objektif rakaman itu dibuat menggunakan akaun TikTok beliau,” katanya.

Razarudin berkata, pihaknya akan mengeluarkan pekeliling mengenai penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota polis.

Dalam video berdurasi 38 saat itu, polis wanita berpangkat Asisten Superintendan itu dilihat menjelaskan apa yang dilakukannya di tempat kerja termasuk melakukan serbuan dan pemeriksaan.

Menerusi video itu juga, dia melahirkan rasa terkejut kerana video siaran langsung itu mempunyai lebih daripada 1,400 penonton dan dia berharap akaun TikTok miliknya akan mempunyai lebih daripada 100,000 pengikut.

Tindakannya itu mengundang kemarahan pengguna media sosial yang mengecamnya kerana mengambil kesempatan ketika operasi sedang dijalankan.

Pada Ogos 2020, polis mengeluarkan arahan melarang pegawai dan kakitangannya berkongsi kandungan media sosial mereka dalam pakaian seragam.

Arahan itu menyatakan Bukit Aman bimbang pegawai dan kakitangannya merakam dan memuat naik tarian dan aksi lain ketika berseragam di media sosial.

Arahan itu bertujuan mencegah persepsi atau kritikan negatif yang boleh memburukkan imej pasukan polis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram